Laporan Aktiviti & Berita

Sehari Bersama Panitia KHB



Tarikh: 21 Februari 2011

Tempat: Bengkel KHB SMK Elopura Sandakan

Sehari Bersama Panitia Kemahiran Hidup Bersepadu (PKHB) telah berlangsung pada 21 Februari 2011 di Bengkel KHB. Perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran (PK 1) iaitu Encik Kwok Chee Yen pada jam 11.35 pagi. Dalam ucapan perasmian, Encik Kwok mengingatkan para pelajar bahawa mereka amat bertuah kerana dapat mempelajari kemahiran hidup kerana pada zaman persekolahan beliau, mata pelajaran ini tidak ditawarkan di sekolah.

Aktiviti yang telah dilaksanakan ialah Kuiz Seminit Bersama KHB, Teka Silang Kata “Saya Suka KHB”, Pertandingan Reka Cipta daripada bahan-bahan terbuang, Pertandingan Memateri, Cabutan Bertuah dan Pameran Alat dan Bahan KHB.

Antara objektif aktiviti ini adalah mengenal pasti nama dan alat/bahan yang digunakan dalam projek kayu, elektrik dan elektronik, kerja-kerja perpaipan, pertanian dan jahitan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk minat terhadap mata pelajaran KHB di samping dapat mengeratkan hubungan pelajar dengan PKHB.

Aktiviti tersebut dimulai dengan cabutan bertuah oleh PK Pentadbiran, PK Petang, Ketua Bidang Teknik dan Vokasional dan guru-guru dan kemudian diikuti oleh pelajar yang terdiri daripada Tingkatan Satu dan Dua. Selepas aktiviti tersebut dilaksanakan, lawatan ke pameran alat dan bahan KHB pula berlangsung dan diikuti dengan aktiviti kuiz dan pertandingan. Perasmian penutup bagi aktiviti ini disempurnakan oleh PK Petang iaitu Encik Alias Che Long pada jam 5.40 petang di Medan Perhimpunan Sesi Petang. Penyampaian Hadiah bagi pemenang dalam semua aktiviti di atas turut disempurnakan pada masa tersebut.