Sayangi Buku Teks Sepanjang Masa
Tarikh: 11 Januari 2011
Tempat: SMK Elopura Sandakan
Buku teks SPBT merupakan satu hadiah dari kerajaan khas untuk kita semua rakyat Malaysia. Berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan dan memberi keselesaan kepada semua rakyat. Ini selaras usaha kerajaan untuk mengelakkan keciciran pembelajaran di kalangan rakyat. Selaras usaha murni kerajaan ini, kita sebagai rakyat yang taat dan setia dan sayang akan negara kita, sepatutnya menghargai pemberian ini sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan kita.
Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghargai dan menyayangi pemberian ini dengan cara menjaga buku tersebut sebaik mungkin. Justeru itu, pihak sekolah mengadakan kempen “Sayangi Buku Teks Anda Sepanjang Masa” bermula dari bulan Februari sehingga bulan Oktober.
Kerjasama para ibu bapa amat diperlukan untuk bersama-sama memastikan buku teks yang dipinjamkan sentiasa ada dan tidak hilang. Balutlah buku teks dengan plastik pembalut. Nama berserta nama kelas dan tahun pinjaman perlu dilengkap pada ruang bercop yang disediakan.
Adalah menjadi tanggungjawab para ibu bapa untuk memastikan juga buku-buku teks tidak diconteng, dikoyak, atau ditinggalkan di merata-rata tempat. Pihak sekolah akan mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa. Sebarang kehilangan atau kerosakan buku mestilah segera dilaporkan kepada guru kelas atau guru SPBT atau Penolong Kanan HEM. Keprihatinan semua pihak dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang terbaik.
Pemantauan penjagaan buku teks SPBT akan diadakan sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Pemantauan pertama akan diadakan pada bulan Februari ini.
PERATURAN PINJAMAN BUKU SPBT
Adalah dengan hormatnya dimaklumkan bahawa pelajar yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh Biro SPBT Kementerian Pendidikan Malaysia adalah dipertimbangkan bagi pemberian buku teks. Walaubagaimanapun, pemberian buku teks ini tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
- Menulis nama di ruang yang disediakan pada setiap buku.
- Membalut buku dengan pembalut plastik.
- Tidak meninggalkan buku di merata-rata tempat dan di bilik darjah sewaktu lepas sekolah atau cuti persekolahan.
- Membawa buku ke sekolah sewaktu mata pelajaran berkenaan dijalankan.
- Tidak memberi pinjam kepada pelajar lain.
- Memastikan buku sentiasa berada di dalam keadaan baik dan selamat.
- Mengganti balik buku-buku yang hilang.
- Kembalikan buku-buku tepat pada tarikh yang ditetapkan.
- Peraturan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
TINDAKAN YANG BOLEH DIAMBIL UNIT SPBT
Dimaklumkan juga bahawa mana-mana pelajar yang tidak membalut buku teks dan meninggalkan buku teks mereka di dalam meja / laci, pihak sekolah berhak untuk merampas buku tersebut dan mengambil tindakan susulan. Pelajar yang berkenaan boleh dikenakan tindakan seperti berikut:
- Pelajar diberi amaran.
- Pelajar dikehendaki membayar denda RM 1.00 ( Satu Ringgit sahaja ) untuk setiap buku teks yang dirampas.
- Sekiranya pelajar tidak menuntut buku-buku tersebut, pada akhir tahun nanti pelajar dikehendaki membayar harga bagi setiap buku yang dirampas.
























