Laporan Aktiviti & Berita

Pesta Ang Pau 2011



Tarikh: 12 Feb 2011

Tempat: SMK Elopura Sandakan

Sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini diadakah secara serentak di dua lokasi iaitu Dewan Persona dan Gelanggang Badminton Blok Perdana-Satria. Para guru dan pelajar mengambil tempat masing-masing pada kira-kira 6:30 pagi. Ketibaan Pengetua, Pn Hajah Kalsom Haji Abd. Aziz dan Penolong Kanan Pentadbiran, En. Kwok Chee Yen bersama-sama dengan para tetamu jemputan yang terdiri daripada Kapitan Chin Thai Set, Yang Dipertua PIBG, En. Salamun Ali, Timbalan Yang Dipertua Alumni, Cik Marita Mahalan serta ahli-ahli PIBG lain disambut meriah oleh semua warga sekolah. Majlis bermula kira-kira 8:00 pagi.

Selepas ucapan alu-aluan para pentadbir, Kapitan Chin Thai Set selaku perasmi sambutan Pesta Ang Pau 2011 memberi ucapan perasmiaan. Upacara Perasmian diadakan dengan penuh meriah di mana para tetamu jemputan dengan diiringi oleh Pengetua, Penolong Kanan serta penyelaras Pesta Ang Pau 2011, Cik Voo Yen Fun memecahkan belon sebagai simbolik bunyi mercun.

Setelah perasmian, semua hadirin dihiburkan dengan pelbagai persembahan daripada pelajar. Antara persembahan yang ada termasuklah nyanyian koir ‘1 Malaysia’, tarian riben, tarian kipas, tarian isyarat tangan, dan nyanyian duet. Setiap persembahan diselang-selikan dengan satu permainan. Permainan di bawah kendalian  Pn. Cheong Bo Yuk mendapat sambutan penyertaan daripada hadirin termasuklah para tetamu jemputan. Antara permainan yang berlangsung adalah menulis kaligrafi, menguli doh, jigsaw puzzle, kupas dan makan limau mandarin serta Chinese Whisper. Setiap peserta dan penonton terhibur dengan permainan yang diadakan. Pada masa yang sama, terdapat aktiviti serupa berlangsung secara serentak di gelanggang badminton.

Aturcara di dalam dewan tamat lebih kurang pukul 10.00 pagi. Semua hadirin ke lokasi kedua, untuk acara-acara kemuncak Pesta Ang Pau. Acara simbolik ‘Lou Sang’ yang melambangkan kemewahan dan tuah yang melimpah telah diadakan. Selepas itu, kumpulan pelajar dan guru membuat persembahan koir lagu Tahun Baru Cina yang berjudul ‘Fu Qi’ (Bahagia). Kira-kira jam 10:40 pagi, para hadirin disajikan persembahan Tarian Singa. Persembahan tarian singa kemudian disusuli oleh acara makan limau mandarin beramai-ramai.

Majlis sambutan Pesta Ang Pau 2011 tamat lebih kurang pukul 11.30 pagi. Sejurus selepas bersurai, hujan turun dengan lebat.  Namun demikian, semua guru berasa gembira dan bersyukur kerana majlis sambutan berjalan dengan lancar dan sempurna.