Pelancaran Laman Web
Tarikh: 17 September 2009
Tempat: Dewan Persona SMK Elopura
Setelah sebulan meraikan Bulan Kemerdekaan di peringkat sekolah, pada hari ini satu Majlis Penangguhan perayaan tersebut telah pun sempurna dilaksanakan. Sepanjang bulan ini, banyak aktiviti dijalankan khasnya dibawah pimpinan Ketua Panitia Sejarah, Pn Cheong Bo Yuk. Beliau memberi penghargaan kepada semua warga SMK Elopura khasnya para guru dan murid muslim kerana menjalani aktiviti yang dirancang dengan penuh semangat Kemerdekaan serta Ramadan.
Dalam majlis yang sama, Laman Web SMK Elopura (www.smkelopura.my) telah dilancarkan (soft launch) oleh Pn Hjh Kalsom Abd Aziz, pengetua SMK Elopura Sandakan dalam semangat Kemerdekaan serta Ramadan yang mulia. Hari ini juga merupakan kemuncak perayaan Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah. Dalam ucapan beliau, Pn Hjh Kalsom mengingatkan para murid akan kepentingan semangat jati anak Malaysia. “Walaupun ada di antara kalian mempunyai pertalian dengan saudara di rantau asing, namun kalian dilahirkan di Malaysia, maka tunjukkanlah semangat cinta kepada Malaysia,” kata beliau. Bagi mengecapi pembestarian yang lebih jitu serta sejajar dengan status sekolah sebagai Sekolah Bestari Perdana, maka laman web sekolah yang sedia ada telah diberi penampilan yang baru. Beliau mengingkatkan warga SMK Elopura bahawa kemerdekaan itu bukan hanya satu program semata-mata, malah semangat Kemerdekaan akan diterjemahkan dalam program serta aktiviti sekolah kelak. Ini juga akan dipaparkan menerusi laman web sekolah. Semangat 1 Malaysia perlu diaplikasikan dalam konteks sekolah. Maka dengan itu, terhasilnya pepatah “Murid didahulukan, Pencapaian diutamakan” – pencapaian yang dimaksudkan adalah lebih daripada akademik semata-mata.
Majlis diakhiri dengan penyampaian sajak daripada guru dan murid serta penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.





















