Laporan Aktiviti & Berita

SMK Elopura Menyerlah di Temasya Olahraga MSSD Sandakan Kali Ke-52, 2011



Tarikh: 7 – 9 Mac 2011

Tempat: Stadium Kompleks Sandakan

SMK Elopura Sandakan menghantar seramai 24 atlet dalam Temasya Olahraga MSS Daerah Sandakan pada tahun ini. Temasya pada tahun ini berlangsung pada 07 hingga 09 Mac 2011, bertempat di Stadium Kompleks Sukan Sandakan yang turut menemukan 22 buah sekolah menengah sekitar daerah Sandakan dan 4 zon sekolah rendah.

Setelah bermula garang di hari pertama dengan memungut 7 pingat Emas, 2 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa, SMK Elopura menambah 3 lagi pingat Emas dan 2 pingat Perak pada hari kedua. Ini menjadikan jumlah kutipan 10 pingat Emas, 4 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa. Hari kedua melihat SMK Elopura telah mencapai sasaran kutipan yang ditetapkan iaitu 9 pingat Emas.

Temasya kali ini juga melihat SMK Elopura berjaya memecahkan 3 rekod MSS daerah Sandakan dalam acara Lompat Jauh dan Lompat Kijang Perempuan 18 tahun serta Lontar Peluru Perempuan 15 tahun.

Pada hari ketiga temasya, SMK Elopura berjaya mendapat 2 lagi pingat Emas dan 2 pingat Perak menjadikan jumlah keseluruhan 12 pingat Emas, 6 pingat Perak dan 1 pingat Gangsa yang meletakkan SMK Elopura di kedudukan Naib Johan Keseluruhan sedikit sahaja dibelakang SMK Sandakan dengan 12 Emas, 10 Perak dan 8 Gangsa. SMK Elopura juga berjaga mengungguli Kategori Perempuan 18 tahun dan Kategori Perempuan 15 tahun. Atlet SMK Elopura, Cherynicebyella Vitus dinobatkan sebagai Olahragawati Perempuan bawah 15 tahun.

PINGAT EMAS

  1. Syarifa Syakina Karmin – 1500 meter (P15)
  2. Merrey binti Gabali – Lompat Kijang (P18) (11.01 meter – Rekod Baru Kejohanan )
  3. Cherynicebyella Vitus – Lontar Peluru (P15) (8.00 meter – Rekod Baru Kejohanan )
  4. Abdul Ajim bin Otuh – 400 meter Lari Berpagar (L18)
  5. Mohd. Huzaifah bin Samti – 100 meter (L18)
  6. Merrey binti Gabali – Lompat Jauh (P18) (4.80 meter – Rekod Baru Kejohanan )
  7. Cherynicebyella Vitus – Lempar Cakera (P15)
  8. Mohd. Huzaifah bin Samti – 110 meter Lari berpagar (L18)
  9. Siti Nursyafiqah Idayu – 400 meter (P18)
  10. Pasukan 4 x 100 meter Perempuan 15 tahun.
  11. Syarifah Syakina Karmin – 800 meter (P15)
  12. Siti Nursyafiqah Idayu – 200 meter (P18)

PINGAT PERAK

  1. Norasila bte Patahani – Lontar Peluru (P15)
  2. Nurhidayah bt Muhd. Alwi – Lompat Tinggi (P15)
  3. Syarifah Syakina Karmin – 400 meter (P15)
  4. Mohd. Ajim bin Otuh – 400 meter (L18)
  5. Mohd. Huzaifah bin Samti – 200 meter (L18)
  6. Pasukan 4 x 400 meter Perempuan 15 tahun.

PINGAT GANGSA

  1. Nihma bt Fong Yoke Ming – Lompat Jauh (P15)

Kejayaan ini adalah berkat sokongan padu daripada semua pihak terutamanya Tuan Pengetua Sekolah, Pn. Hajah Kalsom Abd. Aziz, barisan pentadbir, guru–guru serta semua warga sekolah yang turut mendoakan kejayaan kontinjen SMK Elopura pada temasya tahun ini. Tidak dilupakan juga sokongan daripada Pn. Aau Fui Lin, Penolong Kanan Ko-Kurikulum dan En. Zainuddin Mahat selaku Setiausaha Sukan Sekolah.

Buat pertama kalinya juga diperkenalkan Pasukan Sorak SMK Elopura. Pasukan ini telah diilhamkan oleh Tuan Pengetua sendiri dan dibimbing oleh Cik Daphne D. Fernandez dan En. Simin bin Jabbar. Pasukan Sorak sekolah dapat menyuntik semangat juang para atlet untuk mempamerkan aksi yang lebih mantap.

Program Niche Olahraga yang di tubuhkan 3 tahun yang lalu mula menampakan hasil yang kita harapkan. Menurut Ketua Jurulatih Niche Olahraga, En. Leonny Leo, program ini mempunyai banyak perancangan termasuk mencari bakat–bakat yang boleh digilap dan boleh membuahkan hasil pada masa hadapan. Program niche olahraga juga merupakan bidang kebitaraan yang perlu diperhalusi dan diberi perhatian sewajarnya untuk kita mencapai sekolah impian dan seterusnya gemilang di daerah Sandakan.

Seramai 8 orang atlet dan 3 jurulatih dari SMK Elopura terpilih mewakili daerah Sandakan ke Kejohanan Olahraga MSSM peringkat Bahagian Sandakan yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Mac 2011 bertempat di Stadium Kompleks Sukan Sandakan dibawa kelolaan Pejabat Pelajaran Beluran.