Laporan Aktiviti & Berita

Ekspedisi 1Elobest Menawan Puncak Kinabalu 2011



Tarikh: 23 – 24 Jun 2011

Tempat: Taman Kinabalu, Sabah

Pasukan pendaki ini terdiri daripada 19 orang pelajar dan 6 orang guru. Bertolak pada 23 Jun 2011 (Khamis), seawal jam 5.30 pagi. Dimulakan dengan bacaan doa di dalam bas dan diiringi oleh pelajar asrama yang berbaris panjang di luar pintu pagar sekolah yang menambahkan semangat para pendaki untuk menawan puncak Gunung Kinabalu. Pendakian bermula jam 11.50 pagi pada hari yang sama dari Timpohon, Taman Kinabalu. Pelajar yang pertama sampai di Laban Rata dengan ketinggian 3272 meter adalah pada jam 2.45 petang. Kumpulan yang terakhir sampai adalah dalam lingkungan jam 7.00 malam. Suhu yang dicatatkan pada waktu malam adalah 0.9°C diikuti dengan angin kencang. Pada malam tersebut,  seorang pelajar mengalami sesak nafas dan beberapa orang guru dan pelajar mengalami sakit kepala dan sakit kaki.

Walau bagaimanapun, 18 orang pelajar dan 5 orang guru telah mengagahkan diri  untuk meneruskan pendakian ini dari Laban Rata jam 2.30 pagi. Akhirnya, kesemua mereka yang dapat meneruskan pendakian ini berjaya menawan puncak kinabalu dan mengibarkan bendera sekolah seawal jam 5.00 pagi oleh kumpulan pelajar lelaki yang sampai dahulu. Kumpulan pelajar lelaki ini setia menunggu rakan-rakan dan guru-guru yang lain untuk bergambar sehingga jam 7.00 pagi.

Pelajar lelaki yang pertama menawan puncak Gunung Kinabalu ialah Jaiven Salait (6.2.4) pada jam 5.00 pagi dan pelajar perempuan yang pertama menawan puncak ialah Marhaya Bakri (6.2.5) pada jam 5.30 pagi. Kesimpulannya, Kejayaan menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara ini disebabkan oleh  kecekalan yang ditunjukkan oleh guru dan pelajar yang tidak mudah putus asa walaupun mendaki pada ketinggian 4095 meter dengan keadaan angin kencang, gelap, berkabus, keadaan yang sejuk di paras beku, kandungan oksigen yang semakin rendah serta keinginan untuk melakarkan nama sendiri dan mengharumkan nama sekolah membolehkan misi ekspedisi ini berjaya.

Tahniah diucapkan kepada para pendaki Elobest. Terima kasih diucapkan kepada semua warga SMK Elopura yang telah mendoakan keselamatan dan kejayaan kami untuk menawan puncak Gunung Kinabalu.