Laporan Aktiviti & Berita

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PENETAPAN TARGET STPM 2017



TARIKH : 8 MAC 2017 (RABU)

TEMPAT : DEWAN PERSONA, SMK ELOPURA

Pada 8 Mac 2017 yang lalu, Unit Tingkatan Enam SMK Elopura telah menjayakan Majlis Pelancaran Program Penetapan Target untuk para pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia 2017. Kehadiran ibu bapa para pelajar yang agak memberangsangkan turut memeriahkan majlis yang menjadi acara tahunan Unit Tingkatan Enam SMK Elopura. Penolong Kanan Pentadbiran, En. Alias Che Long  yang mewakili Puan Pengetua, Pn. Hajah Kalsom Binti Haji Abd. Aziz, telah berbesar hati untuk menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan. Sungguhpun Puan Pengetua tidak dapat hadir ke majlis tersebut, beliau tetap berbesar hati untuk menyampaikan amanat dan harapan beliau kepada para pelajar serta ibu bapa yang hadir walaupun sekadar menerusi rakaman video.

Antara pengisian utama majlis tersebut ialah pembentangan Headcount 2017 oleh Penyelaras Program, iaitu En. Chak Kian Hiung. Beliau telah memaklumkan semua hadirin bahawa pihak sekolah telah menetapkan sasaran GPS 3.21  dengan mengekalkan peratus kelulusan 100% untuk dicapai oleh para pelajar STPM pada tahun ini. Oleh itu, sebagai langkah permulaan untuk meningkatkan motivasi para pelajar, pihak sekolah telah menganugerahkan sijil penghargaan dan cendera hati kepada para pelajar TOP 12 serta 4 orang pelajar Harapan Aliran Sains yang tersenarai dalam Headcount berkenaan. Kemudian, majlis diteruskan pula dengan  sesi AKU JANJI para pelajar yang diketuai oleh adik Mohamad Hafiz Bin Azemi selaku Pengerusi MAPPTEE. Sesi AKU JANJI tersebut dilafazkan oleh para pelajar di hadapan para guru dan ibu bapa mereka yang hadir.

Seterusnya, kehadiran pelajar cemerlang STPM 2016, adik Nurfaizatul Aini Binti Asik yang dijemput khas ke majlis tersebut diharapkan lebih menyemarakkan semangat para pelajar. Beliau yang mendapat 4A (4.00) dalam peperiksaan STPM 2016 turut berkongsi  pengalaman dan tips-tips kejayaan beliau dengan para pelajar. Pihak sekolah amat berharap agar kejayaan adik Nurfaizatul Aini akan menjadi contoh dan pemangkin semangat buat para calon STPM 2017. Majlis diakhiri dengan pemberian Slip Target STPM 2017 kepada para pelajar dan sesi motivasi bersama kaunselor.

 


PENAFIAN:Setiap maklumat yang terkandung di laman web rasmi SMK Elopura adalah tepat dan terkini. Walau bagaimanapun, maklumat yang didapati di laman ini boleh diubah, disunting atau ditarik semula dari semasa ke semasa dan pihak SMK Elopura tidak bertanggungjawab terhadap sebarang liabiliti berkenaan ketepatan maklumat yang dipaparkan. Pihak SMK Elopura berhak membuat sebarang perubahan tanpa sebarang notis. Sesetengah maklumat adalah pautan dari pihak ketiga dan pihak SMK Elopura tidak akan bertanggungjawab terhadap ketepatan atau sebarang perkara lain yang berkait dengan pautan-pautan berkenaan.