Laporan Aktiviti & Berita

MAJLIS KONVOKESYEN ELOBEST 2016



Tarikh: 3 November 2016

Tempat: Dewan Persona SMK Elopura

Pada 3 November 2016, Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura telah mengadakan Majlis Konvokesyen Elobest 2016. Majlis itu bermula seawal pukul 8.00 pagi. Ibu bapa turut hadir untuk memeriahkan majlis yang dilangsungkan di Dewan Pesona, SMK Elopura. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi penghargaan kepada murid-murid tingkatan 5 yang  bakal menduduki SPM pada 7 November 2016 atas usaha gigih mereka belajar selama ini. Selain itu, majlis ini juga turut meraikan pelajar-pelajar tingkatan 1, 2, 3 dan 4 yang mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Penganugerahan ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada para pelajar supaya terus cemerlang. Majlis ini dimulakan dengan perarakan masuk perasmi, wakil dari PPD, tetamu jemputan, Pengetua, Penolong Kanan, dan Ketua Bidang. Selepas itu, nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah airku dan lagu sekolah dinyanyikan dengan penuh semangat. Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Saiful Lizam bagi memberkati majlis.

Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan oleh Pengetua SMK Elopura. Beliau menyeru agar pelajar berusaha lebih gigih lagi untuk mencapai kecemerlangan.

Selepas itu, Prof. Dr Mohammad bin Mohd Lassim, pensyarah Fakulti Pertanian Lestari memberikan ucapan sekaligus melaksanakan upacara perasmian.

Dalam ucapan tersebut, beliau menasihatkan ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap pendidikan anak-anak dan pelajar juga perlu lebih berusaha untuk cemerlang.

 Acara diteruskan dengan penyampaian sijil kepada pelajar-pelajar tingkatan 5, pelajar cemerlang tingkatan 1, 2, 3 dan 4. Anugerah tokoh budiman pula telah dianugerahkan kepada Muhammad Khairiqbal bin Kasmar dari kelas 5.1.

Secara keseluruhannya, majlis ini berlangsung dengan lancar dan meriah sekali. Diharapkan agar majlis seperti ini akan menjadi pendorong kepada murid-murid agar lebih cemerlang pada masa akan datang.


PENAFIAN:Setiap maklumat yang terkandung di laman web rasmi SMK Elopura adalah tepat dan terkini. Walau bagaimanapun, maklumat yang didapati di laman ini boleh diubah, disunting atau ditarik semula dari semasa ke semasa dan pihak SMK Elopura tidak bertanggungjawab terhadap sebarang liabiliti berkenaan ketepatan maklumat yang dipaparkan. Pihak SMK Elopura berhak membuat sebarang perubahan tanpa sebarang notis. Sesetengah maklumat adalah pautan dari pihak ketiga dan pihak SMK Elopura tidak akan bertanggungjawab terhadap ketepatan atau sebarang perkara lain yang berkait dengan pautan-pautan berkenaan.