Laporan Aktiviti & Berita

Kolokium Tingkatan 6 Tahun 2010



Tarikh: 08 Oktober 2010

Tempat: Dewan Persona, SMK Elopura Sandakan

Kolokium bermaksud perjumpaan atau persidangan untuk membincangkan perkara yang bersifat ilmiah (Kamus Dewan edisi keempat, 2005: 806). Dalam konteks Penyelidikan Tingkatan 6, Kolokium ialah perhimpunan pelajar-pelajar Tingkatan 6 untuk membentangkan draf terakhir laporan penyelidikan mereka di hadapan rakan-rakan penyelidik muda dan guru-guru Akademik Tingkatan 6 bertindak sebagai penilai.

Pada hari Jumaat bersamaan 8 Oktober 2010, Jawatankuasa Tingkatan 6 SMK Elopura telah menganjurkan Kolokium Tingkatan 6 Tahun 2010. Kolokium Tingkatan 6  yang pertama kali diadakan di daerah Sandakan ini, telah diadakan dengan jayanya di Dewan Persona SMK Elopura. Majlis yang dihadiri oleh 184 orang pelajar Tingkatan 6 dari sekolah-sekolah menengah SMK Elopura, SMK Elopura 2, SMK Telupid dan SMK Batu Sapi telah berlangsung dari jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 11.30 pagi. Tujuan Kolokium Tingkatan 6 ini diadakan adalah untuk:

  • Menjelaskan dan memupuk konsep Penyelidikan dan Kolokium Tingkatan 6 di kalangan pelajar-pelajar Tingkatan 6 di daerah Sandakan.
  • Membudayakan aktiviti Penyelidikan dan Kolokium di kalangan pelajar-pelajar Tingkatan 6 di daerah Sandakan.
  • Menyediakan platform perkongsian pendapat dan percambahan idea-idea baru di kalangan pelajar-pelajar dan guru-guru Tingkatan 6 di daerah Sandakan.

6 kumpulan pelajar Tingkatan 6 dari SMK Elopura dan SMK Elopura 2 telah membentangkan hasil dapatan kajian mereka di dalam Kolokium Tingkatan 6 ini. Pembentangan dinilai oleh 4 orang penilai yang terdiri daripada Penolong Kanan, Penyelaras dan guru-guru Tingkatan 6 dari keempat buah sekolah yang mengambil bahagian. Berikut ialah keputusan penilaian pembentangan tersebut:

  1. Johan (SMK Elopura): Kajian Kes (Bahasa Malaysia)
    Kesalahan Tatabahasa Pada Papan Tanda Yang Terdapat Di Sekitar Daerah Sandakan
  2. Naib Johan (SMK Elopura 2): Library-Based Research (Pengajian Perniagaaan)
    Teori Pengurusan Organisasi Karya Henry Fayol
  3. Tempat Ketiga (SMK Elopura): Kajian Eksperimental (Sains Sukan)
    Kesan Pemanasan Badan

Majlis Kolokium Tingkatan 6 Tahun 2010 ini dilihat mendapat sambutan yang baik  dari para jemputan yang hadir melalui penglibatan mereka yang aktif sepanjang masa kolokium berjalan. Diharap Kolokium Tingkatan 6 ini dapat menjadi pemangkin dan pencetus budaya Penyelidikan dan Kolokium Tingkatan 6 di kalangan pelajar-pelajar Tingkatan 6 di daerah Sandakan.