Gotong-Royong Perdana 2010
Tarikh: 15 Mei 2010 (Sabtu)
Tempat: SMK Elopura Sandakan
Warga SMK Elopura Sandakan menyahut seruan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk mengadakan Gotong-Royong Perdana sempena Perayaan Hari Guru pada tahun 2010. Sememangnya ini merupakan satu sambutan yang istimewa. Julung kali para pelajar dan guru menyambut Hari Guru dengan cara ‘gotong-royong’.
Bagi Warga SMK Elopura, acara bermula awal, kira-kira jam 6:30 pagi, pelajar dan guru berkumpul untuk Senamrobik ala Tarian yang diketuai oleh Cikgu Hamree bersama barisan penari-penarinya. Senaman bermula kira-kira jam 7:00 pagi dan berlangsung selama satu jam.
Pada 8:00 pagi, aktiviti Kelestarian Alam Sekitar bermula. Tapak sekolah dibersihkan secara menyeluruh dari bilik darjah sehinggalah ke masjid dan surau. Selain aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah serta memperbaiki kemudahan yang usang, para pelajar telah didedahkan dengan “Garbage Enzyme” oleh Pengetua, Pn Hjh Kalsom. Selain teori mengenai kebaikan enzyme, para pelajar turut menyumbang kepada penghasilan enzyme tersebut secara berkumpulan. Pada masa yang sama, satu pertandingan memasak “Chef of Tomorrow’ telah dijalankan dengan penyertaan pelajar-pelajar dari Tingkatan 3.1 dan program ini diketuai Cikgu Chan Yee Ning.
Sepanjang aktiviti kelestarian ini, warga sekolah dihiburkan dengan lagu-lagu Radio Best SMK Elopura Sandakan. Acara secara rasminya berakhir dengan ucapan terima kasih daripada Pengetua yang disampaikan melalui khidmat Radio Best tersebut. Seluruh warga terhibur dengan sambutan yang luar biasa ini.




















































