Slideshow Image 1 Slideshow Image 2 Slideshow Image 3 Slideshow Image 4 Slideshow Image 5

Mesej daripada Pengetua
SMK Elopura Sandakan

Pn Hjh Kalsom Abd Aziz bermula bertugas sebagai pengetua SMK Elopura Sandakan sejak April 2008 lagi.

Selamat Datang

Selamat datang ke laman web SMK Elopura. Saya amat bersyukur kepada Allah S.W.T., akhirnya laman web ini dapat dihasilkan. Kewujudan laman web sekolah membuktikan bahawa pihak sekolah sentiasa berusaha meningkatkan penggunaan teknologi maklumat, sama ada dari segi penggunaan komputer ataupun perkongsian maklumat merentasi sempadan di kalangan warga SMK Elopura.

Sebenarnya sebuah laman web itu dapat memberi manfaat atau faedah kepada pelajar dan guru sekiranya digunakan dengan kadar optimum. Para pelajar berpeluang untuk bertukar-tukar idea dan pendapat dengan para pelajar daripada sekolah-sekolah lain. Dengan erti kata lain, pelajar dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan maklumat melalui perkongsian ilmu.

Para guru dapat bertukar-tukar bahan pengajaran dan pembelajaran terutamanya dari segi latihan, nota dan strategi pengajaran dan pembelajaran sesuatu subjek bagi meningkatkan pengetahuan dan ilmu untuk manfaat antara guru – guru di seluruh Malaysia. Hal ini sebenarnya menggalakkan para guru menjadi lebih inovatif dan kreatif untuk meningkatkan kualiti atau mutu pengajaran dan pembelajaran yang lebih canggih dan bertaraf dunia.

Oleh yang demikian, saya mengajak dan menyeru, termasuk diri saya sendiri, untuk berlumba-lumba untuk menambahkan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan berusaha mempelajari bagaimana menguruskan teknologi maklumat dengan lebih berkesan.

Saya juga menyeru kepada semua guru, pelajar dan tidak ketinggalan para AKS agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu teknologi maklumat dan memanfaatkan laman web yang telah diwujudkan sebaik mungkin. Semoga SMK Elopura akan terus menjadi sebuah pusat pengajian yang unggul dari segala aspek di masa-masa yang akan datang.

Akhir sekali tidak dilupakan dengan ucapan syabas dan tahniah kepada pihak AJK Laman Web SMK Elopura, kerana dengan kesungguhan dan sifat dedikasi, laman web bagi sekolah SMK. Elopura telah berjaya dihasilkan. Sikap kerjasama dan komitmen ini perlu diteruskan agar impian untuk melahirkan generasi pelajar yang cemerlang dalam segala aspek akan terlaksana.

Sekian. Wassalam.

Hjh Kalsom Abd Aziz
Pengetua
SMK Elopura Sandakan